Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Pengangkutan mengumumkan pelantikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang baharu, berkuatkuasa, Isnin ini.

Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai Pengerusi, manakala Chester Voo Chee Soon dilantik sebagai CEO.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelantikan Mohd Khairul adalah mengikut Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta 788] mengikut Seksyen 5(1).

"Manakala, pelantikan Voo pula adalah mengikut Seksyen 21, selepas disyor dan dipertimbangkan oleh CAAM.

"Mohd Khairul adalah seorang penjawat awam profesional yang sudah berkhidmat selama lebih tiga dekad.

"Ketika ini beliau bertugas sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Malah, sebelum itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Voo adalah seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan terkemuka dengan memiliki pengalaman yang luas dalam industri penerbangan.

Menurutnya, Voo sudah berkhidmat di beberapa syarikat penerbangan dan tugas terakhir digalas adalah sebagai pengarah operasi penerbangan di syarikat penerbangan domestik.

"Beliau (Voo) mempunyai pengalaman luas dalam kedua-dua sektor swasta dan penerbangan awam.

"Saya yakin kedua-dua mereka ini akan banyak membantu kerajaan meningkatkan

kecekapan serta keselamatan penerbangan awam sehingga mencapai kelas dunia

dalam industri penerbangan.

"Antara tugas utama yang sedang kita hadapi bersama adalah usaha mengembalikan status penarafan dunia Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) ke Kategori 1, seperti mana pencapaian kita pada tahun 2003 lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 4:26 PM