KAKITANGAN Airbus memeriksa helikopter jenis Airbus H125 terhempas melibatkan lima lelaki warga tempatan termasuk juruterbang untuk dibawa ke hangar Airbus di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang. FOTO Arkib NSTP
KAKITANGAN Airbus memeriksa helikopter jenis Airbus H125 terhempas melibatkan lima lelaki warga tempatan termasuk juruterbang untuk dibawa ke hangar Airbus di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Siasatan awal terhadap insiden helikopter terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 24 Mac lalu, mendapati lesen juruterbang dan rekod penyelenggaraan helikopter itu masih sah mengikut piawaian ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan (CAAM), Kapten Chester Voo berkata, ketika ini, Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan itu.

"Laporan awal kemalangan akan dikeluarkan selepas 30 hari kejadian.

"Namun, siasatan awal mendapati lesen juruterbang dan rekod penyelenggaraan helikopter itu masih sah," katanya pada sidang media Program Taklimat Keselamatan Bersama Syarikat Pengendali Helikopter di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini juruterbang dan individu yang terbabit dalam kemalangan masih menjalani rawatan.

Katanya, siasatan akan dijalankan terhadap mereka selepas pihak terbabit dibenarkan keluar hospital.

Beliau berkata, laporan penuh kemalangan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan CAAM untuk diambil tindakan termasuk penambahbaikan operasi penerbangan.

Sementara itu, Voo berkata, berdasarkan pengalaman CAAM, tiada unsur sabotaj berlaku membabitkan kemalangan helikopter di negara ini, sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini, siasatan mendapati kemalangan adalah disebabkan faktor cuaca dan teknikal.

"Program taklimat ini bertujuan memberikan peringatan kepada syarikat pengendali dan juruterbang untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu keselamatan membabitkan pengoperasian helikopter.

"Ia susulan tiga kejadian dalam tempoh kurang enam bulan termasuk dua kejadian membabitkan syarikat sama," katanya.

Voo berkata, pihaknya sudah menggantung lesen penerbangan latihan milik syarikat penerbangan yang terbabit dalam kemalangan di Taman Melawati, Hulu Kelang November tahun lalu dan di Pelabuhan Klang pada Januari tahun ini.

Katanya, setakat ini terdapat sebanyak lapan syarikat pengendali penerbangan komersial dan kurang dari 100 operator persendirian yang berdaftar dengan CAAM.

Lebih 40 peserta hadir dalam taklimat itu terdiri dari pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang.

Berita berkaitan:

  • 'Helikopter terhempas: Laporan siasatan dalam sebulan'
  • 'Siasat jika juruterbang, penumpang ada permit rentas negeri'
  • CAAM ambil tindakan, laksana taklimat keselamatan
  • Helikopter berlepas dari Sungai Lembing, Pahang
  • Helikopter terhempas: 'Saya tidak pernah dengar bunyi begitu kuat'
  • Juruterbang, pembantu cedera di kaki
  • Helikopter terhempas, 2 cedera [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 5:35 PM