Syaherah Mustafa


KERAJAAN negeri Kelantan membenarkan kedai makan atau restoran beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk kebenaran makan di kedai berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bagaimana pun mengingatkan semua pihak sama ada pelanggan atau peniaga supaya mematuhi arahan ditetapkan.

Katanya, peraturan ditetapkan melalui prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan serta kesihatan semua pihak terjaga.

"Mereka kena ikut SOP seperti menjaga jarak sosial satu meter, memberi nombor giliran, mencatat nama dan nombor kad pengenalan pelanggan serta memeriksa suhu badan sebelum masuk ke kedai.

"Kita melihat kelonggaran untuk kedai makan dari sudut positif kerana ia secara tidak langsung memulihkan ekonomi negeri ini selain memberi peluang kepada rakyat untuk mencari rezeki namun sentiasa memastikan peniaga dan pelanggan mematuhi syarat ditetapkan.

"Sebelum ini, MKN sudah membenarkan restoran di mana-mana negeri beroperasi sehingga jam 10 malam tetapi di Kelantan kita benarkan bermula jam 3 petang sehingga 8 malam bagi memberi peluang untuk masyarakat bertarawih dan selepas Ramadan, waktunya seperti biasa iaitu dari jam 7 pagi sehingga 10 malam," katanya.

Mohd Amar ditemui pada sidang media selepas membuat lawatan di rumah mangsa kebakaran membabitkan tiga keluarga di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

KELANTAN membenarkan kedai makan atau restoran beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk kebenaran makan di kedai berkuatkuasa hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KELANTAN membenarkan kedai makan atau restoran beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk kebenaran makan di kedai berkuatkuasa hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjawab isu membabitkan kakitangan kerajaan yang melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di musim perayaan.

"Kakitangan yang pulang dengan surat kebenaran tidak menjadi masalah namun jika mereka melanggar peraturan, pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mengambil tindakan sewajarnya.

"Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan membabitkan kesalahan sebegini dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri, namun jika berlaku tindakan tatatertib diambil bergantung kepada hukuman yang dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 2:37 PM