Wan Dalilah Wan Jaafar, 51 (tengah) meletakkan pita pelakat berbentuk 'X' menanda meja. FOTO GHAZALI KORI
Wan Dalilah Wan Jaafar, 51 (tengah) meletakkan pita pelakat berbentuk 'X' menanda meja. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply

PENIAGA menarik nafas lega selepas kerajaan negeri Terengganu membenarkan semua premis makanan di negeri itu beroperasi termasuk makan di dalam kedai berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini, golongan terbabit terjejas dan menanggung kerugian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Peniaga nasi berlauk dan minuman di Pasar Payang, Wan Dalilah Wan Jaafar, 51, berkata kebenaran untuk beroperasi dengan pelanggan dibenarkan makan di premis memang berita yang ditunggu-tunggu.

"Memang lega bila kerajaan membenarkan pelanggan makan di kedai kerana pendapatan saya terjejas teruk sejak pelaksanaan PKP yang ketika itu berkuat kuasa pada musim cuti sekolah.

"Pasar Payang memang tempat tumpuan pelancong, namun pelaksanaan PKP dan PKPB menjejaskan pendapatan.

"Walaupun boleh beroperasi ketika itu, tetapi pelanggan hanya dibenarkan membungkus makanan sekali gus menyebabkan kami hilang ramai pelanggan," katanya.

Peniaga lain, Mohd Hafiz Ismail, 34, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi kelonggaran kepada mereka untuk beroperasi seperti biasa.

"Alhamdullilah, lega sangat walaupun ada SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi, tetapi ia dapat mengembalikan semula pendapatan kami yang terjejas akibat PKP dan PKPB.

"Pendapatan saya terjejas lebih 70 peratus kerana hanya bergantung kepada peniaga yang berniaga di Pasar Payang sedangkan sebelum ini pelanggan kami terdiri daripada orang luar terutama pelancong," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak mengumumkan kerajaan negeri membenarkan operasi sepenuhnya restoran dan kedai makan termasuk makan di dalam premis bermula 7 pagi hingga 10 malam.

Kebenaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga tamat tempoh PKPB atau sehingga arahan baharu dikeluarkan dengan kesemua pengusaha premis diwajibkan mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 9:01 PM