FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Siti Rohana Idris

ENAM puluh dua individu ditahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan termasuk 45 daripada kerana melepak di kedai makan yang beroperasi lebih masa.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, masih ramai yang degil dan ingkar dengan peraturan yang ditetapkan serta mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan pihak berkuasa.

"Masih ada yang makan dan minum di restoran yang beroperasi melebihi masa ditetapkan iaitu sehingga jam 10 malam.

"Pelanggan hanya dibenarkan beli bungkus dan arahan itu sudah lama berkuatkuasa dan sepatutnya sudah menjadi kebiasaan kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan berkenaan," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di Bilik Gerakan Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Minggu lalu, kerajaan negeri memberi kebenaran pengusaha kedai makan untuk menjalankan operasi perniagaan sehingga 10 malam berbanding sebelum ini dihadkan pada 6.30 petang.

Hasanuddin berkata, pematuhan peraturan itu bukan hanya terpakai kepada pelanggan tetapi juga kepada pengusaha premis kedai makan yang tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kelonggaran waktu beroperasi yang dibenarkan.

"Pengusaha kedai makan kena berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kelonggaran membuka restoran sehingga 10 malam.

"Apabila masih ramai yang makan, minum serta lepak di kedai sehingga tengah malam, ia menandakan rakyat masih berdegil dan memandang remeh terhadap peraturan yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 4:52 PM