Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Jika ikutkan sudah tiga kali berlaku kejadian ribut melanda Lambo Sari (Pusat Interaktif Seni Warisan) sebelum ini.

"Namun, kejadian malam tadi paling teruk apabila apabila tempat yang dijadikan bengkel terbuka roboh," kata pemilik Lambo Sari, Sarinah Said, 52.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada 10 malam itu menyebabkan bilik operasi, mini galeri dan bengkel serba guna atap nipah rosak teruk.

Katanya, dia sedang mengikuti program di Rumah Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu sebelum dimaklumkan mengenainya oleh adiknya.

"Selepas dimaklumkan adik yang bengkel roboh, saya bergegas ke pusat terbabit bagi melihat sendiri dan terkejut dengan apa yang berlaku.

"Sejak pusat ini beroperasi pada 2019, inilah kejadian paling teruk dan anggaran kerugian lebih RM50,000," katanya yang ditemui di pusat itu yang terletak di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini, hari ini.

SARINAH (kiri) mengemas peralatan ruang bengkel yang rosak selepas dilanda ribut dan angin kuat. FOTO Ghazali Kori
SARINAH (kiri) mengemas peralatan ruang bengkel yang rosak selepas dilanda ribut dan angin kuat. FOTO Ghazali Kori

Sarinah berkata, antara produk yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian itu adalah batik dan wau batik yang sudah ditempah pembekal.

Menurutnya, dia kini sedang menyiapkan tempahan pembekal dari Singapura dan dijangka akan menghantar produk itu akhir bulan ini.

"Bagaimanapun, semua produk tempahan yang sudah siap habis rosak terkena air hujan selepas atap dan siling pecah selain kerosakan komputer dan mesin cetak turut dimasuki air," katanya.

Sarinah berkata, pihaknya juga terpaksa membatalkan tempahan beberapa rombongan dari luar Terengganu yang mahu datang ke pusat itu pada Aidiladha nanti.

"Buat sementara waktu ini, pusat ini akan ditutup untuk semua tempahan barangan produk dan pelawat yang mahu datang bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih yang akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 2:47 PM