Balqis Jazimah Zahari


Kampar: "Syukur ada orang bantu bina rumah baru, selepas ini kalau hujan kami sekeluarga sudah boleh tidur dengan lena," kata seorang bapa berstatuskan orang kurang upaya (OKU) yang kudung tangan kanan, M Ramachandra, 39.

Bapa kepada dua anak itu berkata, mereka sekeluarga terharu sebaik menerima berita mendapat bantuan bagi merobohkan rumah lama yang usang untuk digantikan dengan rumah baharu yang lebih selesa.

"Minggu lalu mereka memberitahu rumah akan dirobohkan hari ini dan kami sudah membawa keluar semua barang untuk tinggal sementara waktu di rumah mentua sementara menunggu rumah baharu siap dibina.

"Sebelum ini, kami semua memang tidak dapat tidur semalaman kalau hujan lebat kerana bahagian atap akan bocor di sana sini," katanya ketika ditemui di lokasi rumah yang akan dirobohkan di Taman Aman Baru, Mambang Diawan di sini, hari ini.

Ramachandra berkata, dia sekeluarga sebelum ini tinggal di tapak rumah milik mentuanya itu selama tiga tahun.

Menurutnya, dia sukar mendapat pekerjaan tetap sejak mengalami kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang kira-kira 12 tahun lalu.

"Saya masih hanya membuat kerja kampung sikit-sikit, sudah merata saya cari kerja tetapi tak dapat, mereka kata cacat jadi susah nak bagi kerja.

"Apabila rumah baharu siap nanti sekurang-kurangnya dapatlah isteri dan anak-anak tinggal di rumah yang ada bilik dan lebih selesa berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, kerja meroboh rumah berkenaan dimulakan hari ini oleh anggota bomba dengan kerjasama penduduk setempat.

Pegawai Operasi MyFundAction Cawangan Perak Wan Khadijah Wan Sulong berkata, projek Rumah Impian di bawah MyFundAction berkenaan dilakukan dengan kerjasama kontraktor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Keadaan rumah ini memang sangat daif, atap yang ada memang bocor kalau hujan dan boleh diterbangkan angin kalau ribut teruk, selain lantai yang pecah teruk dan hanya berdindingkan lapisan zink.

"Kita meroboh dan membina semula rumah baharu yang mempunyai dua bilik dan satu bilik air dengan kos binaan keseluruhan dianggarkan dalam RM60,000.

M Ramachandra bersama keluarga dihadapan rumah yang sudah diroboh dan akan dibina semula rumah baharu di Taman Aman Bru, Mambang Diawan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
M Ramachandra bersama keluarga dihadapan rumah yang sudah diroboh dan akan dibina semula rumah baharu di Taman Aman Bru, Mambang Diawan. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Rumah baharu ini dijangka siap dalam tempoh sebulan," katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar Meor Mohd Ali Meor Hussien berkata, kerja operasi merobohkan dapat diselesaikan dalam tempoh setengah jam sahaja.

"Dari segi keselamatan memang rumah ini tidak selamat untuk diduduki, hari ini dengan kekuatan seramai tujuh anggota kita dapat merobohkan rumah ini dalam tempoh singkat dan selepas rumah baharu siap nanti kita akan turut membantu kerja akhir seperti mengecat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 1:22 PM