AKSI lelaki yang memanjat bumbung rumah selepas menyedari kehadiran AADK di Simpang Empat Sungai Daun, Yan. FOTO Ihsan AADK
AKSI lelaki yang memanjat bumbung rumah selepas menyedari kehadiran AADK di Simpang Empat Sungai Daun, Yan. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad

MEMANJAT bumbung rumah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa. Itu aksi seorang lelaki ketika serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Simpang Empat Sungai Daun, Yan, hari ini.

Dalam operasi bermula 8.30 pagi, suspek berusia 27 tahun berjaya meloloskan diri dengan melompat ke bumbung rumah jirannya dan meluru masuk ke hutan berhampiran sebelum berjaya ditahan.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod menjalani program pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) AADK, dua rekod menjalani pengawasan AADK serta satu rekod penjara.

"Ketika anggota menghampiri serta memberi salam di rumah berkenaan, kita mendengar bunyi zink bumbung rumah seperti dipecahkan dan dipijak.

"Anggota AADK kemudian melihat kelibat lelaki terbabit mencari arah untuk terjun sebelum berjaya melarikan diri ke dalam hutan, tetapi berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun di rumah mereka selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 5:22 PM