Antara penagih yang ditahan anggota AADK dalam serbuan di Kampung Sri Perigi, Yan, Kedah. Foto Ihsan AADK Daerah Yan
Antara penagih yang ditahan anggota AADK dalam serbuan di Kampung Sri Perigi, Yan, Kedah. Foto Ihsan AADK Daerah Yan
Nur Syazwana Mansor


TIGA beradik lelaki antara tujuh ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di Kampung Sri Perigi, Yan, Kedah, hari ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan Mohamad Ramli berkata, operasi bermula 6 pagi itu dibuat di sebuah rumah keluarga tiga beradik berkenaan di Kampung Sri Perigi dan mendapati terdapat aktiviti penagihan yang aktif.

Katanya, hasil serbuan itu AADK berjaya menahan tujuh penagih berusia antara 19 hingga 40 tahun termasuk tiga beradik terbabit yang menjadikan kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebagai port menghisap dadah.

"Ketika serbuan, ibu bapa tiga beradik itu tidak memberi kerjasama dan cuba melindungi anak mereka daripada ditahan.

“Bagaimanapun, kita berjaya menahan mereka bersama empat penagih lain sebelum dibawa ke pejabat AADK Daerah Yan untuk ujian saringan air kencing.

"Enam didapati positif dadah candu manakala seorang lagi dadah methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 10:52 PM