FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


SELEPAS lebih sebulan menunggu 120 kotak penutup hidung dan mulut yang ditempahnya pada Mac lalu akhirnya lelaki terpaksa menerima hakikat rugi RM7,800 akibat diperdaya.

Mangsa berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat di Kepala Batas mahu membeli barangan itu untuk kegunaan diri dan rakan-rakan sekerjanya selepas negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, disebabkan permintaan tinggi dan tiada stok di farmasi menyebabkan mangsa membuat pembelian di laman sosial Facebook.

"Selepas meneliti satu iklan di Facebook, mangsa bersetuju membeli 120 kotak penutup hidung dan mulut sebelum membuat bayaran berjumlah RM7,800 ke dalam akaun bank yang diberikan.

"Mangsa kemudian dimaklumkan akan menerima tempahannya dalam tempoh antara 13 hari ke 15 hari, namun pada pertengahan April dia masih tidak menerimanya.

"Akibat kecewa mangsa menghubungi suspek, semalam tetapi individu terbabit memberi pelbagai alasan sebelum nombor telefonnya disekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket penjualan penutup hidung dan mulut itu didalangi warga tempatan yang mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku.

"Sehingga kini, sembilan kes membabitkan penipuan sama dilaporkan di daerah ini (Seberang Perai Utara) dengan nilai kerugian berjumlah RM60,935.

"Kesemua kes penipuan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai diminta sentiasa berwaspada serta membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sekiranya mahu membuat pembelian penutup hidung dan mulut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 3:09 PM