FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


NIAT murni peniaga mahu menyumbang penutup mulut dan hidung serta pensanitasi tangan kepada orang ramai tidak kesampaian apabila dia terpedaya dengan sindiket penipuan di laman sosial.

Wanita berusia 24 tahun sebelum itu melayari Facebook dan tertarik dengan iklan jualan dua barangan berkenaan kerana mendapat permintaan tinggi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa membuat tempahan 100 kotak topeng muka dan mulut serta 500 botol pensanitasi tangan bernilai RM6,000.

“Mangsa memberitahu dia sebelum ini ingin membuat pembelian di farmasi, namun kehabisan stok lalu tertarik dengan iklan di Facebook terbabit tanpa memeriksa terlebih dahulu sebelum membuat bayaran.

“Suspek memaklumkan akan menghantar tempahan dalam tempoh tiga hingga tujuh hari, namun sehingga kini mangsa tidak menerimanya dan suspek pula gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa akhirnya sedar dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan lalu membuat laporan polis, semalam.

“Mangsa memaklumkan dia membuat pembelian dalam jumlah banyak kerana bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga mahu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di daerah itu membabitkan kes penipuan pembelian topeng mulut dan hidung dengan nilai kerugian RM58,585.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/. sebelum membuat sebarang pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:08 PM