ANGGOTA bomba melakukan pencarian di lokasi kejadian kanak-kanak lelaki jatuh longkang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba melakukan pencarian di lokasi kejadian kanak-kanak lelaki jatuh longkang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Raja Noraina Raja Rahim


Rawang: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bukit Rawang Jaya di sini, hari ini.

Mayat mangsa berusia sembilan tahun itu ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dilapor jatuh.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.28 petang.

Menurutnya, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang membabitkan kekuatan lapan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.

"Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak lelaki jatuh ke dalam longkang berkedalaman hampir satu meter.

"Kerja mencari dan menyelamat segera dijalankan pasukan bomba. Mayat mangsa kemudian ditemui dalam jarak empat kilometer dari lokasi jatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 8:16 PM