GAMBAR hiasan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR hiasan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Juwan Riduan


SEBANYAK 14 kertas siasatan penipuan pembelian penutup mulut dan hidung serta cecair basmi kuman (hand sanitizer) dibuka membabitkan kerugian hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan itu diterima awal bulan Februari hingga semalam dan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Semua kes ini atas urusan pembelian penutup mulut dan hidung serta hand sanitizer melalui media sosial Facebook dan Instagram.

“Berdasarkan kepada laporan yang dibuat membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM92,203.

“Kes siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, berdasarkan keterangan mangsa dikehendaki membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan.

“Selepas membuat pembayaran, individu terbabit tidak dapat dihubungi manakala penutup mulut dan hidung serta hand sanitizer yang ditempah tidak sampai,” katanya.

Katanya, sindiket penipuan penutup mulut dan hidung serta hand sanitizer dipercayai bermula sejak Februari lalu berikutan negara dilanda wabak Covid-19.

Menurut Habibi, setakat ini pihaknya berjaya menangkap tiga individu sebagai pemilik akaun dan berjaya dituduh di mahkamah.

“Pelbagai helah yang digunakan oleh sindiket untuk memperdayakan mangsa seperti Macau Scam, tipu tac nombor, pinjaman tipu wujud dan sebagainya.

“Justeru, orang ramai sentiasa berwaspada dan dinasihatkan supaya lebih bijak dan berhati-hati untuk menggunakan segala kemudahan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pengesahan akaun bank yang diberikan oleh ‘scamer’ sama ada terbabit dalam kes penipuan atau sebaliknya di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

“Jika ada sebarang kemusykilan berkenaan dengan panggilan daripada sindiket penipuan, boleh berhubung terus di talian 088-230182 atau hotline polis ke 088-529220.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 5:09 PM