MUHAMMAD Yazid Mpada sidang media Ops Covid-19 Kontinjen Selangor. FOTO Faiz Anuar.
MUHAMMAD Yazid Mpada sidang media Ops Covid-19 Kontinjen Selangor. FOTO Faiz Anuar.
Ruwaida Md Zain


SEJUMLAH 467 kes jenayah siber dan multimedia dilaporkan di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga semalam.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yasid Muhammad Yew berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 53.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kes jenayah ini didapati meningkat kepada 283 dari 184 kes dengan peratusan kenaikan 53.8 berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, antara kes jenayah siber dan multimedia adalah penipuan dalam talian, penipuan pinjaman tidak wujud, penipuan e-dagang.

“Statistik penipuan dalam talian meningkat sebanyak 128 kes dengan peratusan kenaikan 25.49 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagi penipuan pinjaman tidak wujud (PTW) meningkat sebanyak 72 kes dengan peratusan kenaikan 9.1 peratus berbanding tahun lalu.

“Penipuan e-dagang meningkat sebanyak 136 kes dengan peratusan kenaikan 189.36 peratus berdasarkan perbandingan tahun 2019 dan 2020,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 150 mangsa penipuan jual beli penutup mulut dan hidung membabitkan kerugian RM1.93 juta direkodkan sehingga semalam.

“Setakat ini 22 tangkapan membabitkan 17 kertas siasatan. Dua kes dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan dalam tempoh PKP, ramai berada di rumah dan memilih membuat pembelian dalam talian, mereka perlu berhati-hati dalam melakukan transaksi dalam talian.

“Orang ramai disarankan agar membuat semakan terlebih dahulu di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mendapatkan kepastian nombor yang digunakan pihak sindiket bagi mana-mana iklan penjualan barangan atas talian,” katanya.

Katanya, orang ramai juga perlu lebih bijak mengendalikan sebarang panggilan yang diterima daripada mana-mana pihak yang mengaku polis atau agensi penguatkuasaan lain.

“Tiada sebarang bentuk panggilan yang memerlukan pendedahan nombor akaun dan butir peribadi. Jika berlaku, pastikan panggilan diputuskan serta-merta,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:32 PM