GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 23 kes penipuan penjualan penutup hidung dan mulut dilaporkan di Kajang membabitkan kerugian hampir RM90,000.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh 9 Mac lalu hingga semalam.

“Terdapat peningkatan kes penipuan jual penutup hidung dan mulut dilaporkan di daerah ini pada tempoh berkenaan.

“Jumlah itu dijangka meningkat kerana ramai yang belum tampil membuat laporan polis.

“Semua kes penipuan yang dikesan membabitkan penjualan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Sungai Lui, Hulu Langat, semalam.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membuat pembelian penutup hidung dan mulut secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan di laman sesawang ccid.rmp.gov atau semakmule sebelum membuat transaksi pembayaran.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya memeriksa status peniaga dalam talian berkenaan dengan merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui laman sesawang biztrust.ssm.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 2:14 PM