GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Tiada penutupan ruang udara atau lapangan terbang di negara ini setakat ini, susulan letusan semula Gunung Ruang di Indonesia sebanyak tiga kali semalam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Bagaimanapun beliau berkata, ketinggian penerbangan telah dihadkan kepada 35,000 kaki memandangkan kepulan asap akibat letupan itu berada pada ketinggian antara 45,000 kaki ke 63,000 kaki dan penampan 10,000 kaki.

"Sekatan tahap penerbangan ke tahap penerbangan (FL) 35,000 (kaki) dan ke bawah di kawasan poligon.

"Tiada abu gunung berapi dilaporkan dan operasi keluar dan masuk dari Kuala Lumpur diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norazman berkata, CAAM memantau ketat situasi itu bagi memastikan keselamatan aktiviti penerbangan.

Dilaporkan Gunung Ruang meletus tiga kali semalam dan memuntahkan lahar serta menghamburkan abu lebih lima kilometer ke udara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 9:23 PM