GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pembantu projek 'berputih mata' selepas kerugian RM58,800 akibat ditipu dalam dalam pelaburan Bitfine.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu terjerat dengan pelaburan menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang individu melalui Telegram pada 17 Mac lalu namun tidak melayan suspek.

Menurutnya, bagaimanapun, mangsa mula berkomunikasi dengan suspek dan berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine.

"Pengadu menerima pulangan sebanyak RM543 sehingga dia yakin dengan pelaburan berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April sehingga 8 Mei sebanyak lapan kali transaksi ke lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM58,800," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan taktik penipuan jenayah penipuan yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

"Sebarang pertanyaan boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997. "Sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terbabit dalam sebarang kes penipuan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 10:42 AM