FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Amanina Suhaini


KES jenayah komersial dilaporkan meningkat di Johor terutama ketika penularan wabak Covic-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, peningkatan kes itu ketara pada Mac dengan kes penipuan berkaitan topeng penutup hidung dan mulut, Macau Scam selain pinjaman tidak wujud.

Katanya, Macau Scam mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 103.6 peratus yang bersamaan 57 kes berbanding hanya 27 kes pada Februari.

“Ia diikuti penipuan ‘face mask’ iaitu sebanyak 45 kes, berbanding 33 kes pada Februari yakni peningkatan 36.4 peratus, sementara pinjaman tidak wujud meningkat 20.3 peratus kepada 83 kes.

“Peningkatan ini membimbangkan dan kita berharap warga Johor supaya lebih berhati-hati dan tidak terjebak sindiket penipuan begini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Salleh berkata, penduduk juga boleh mengambil langkah dengan menyemak senarai nombor akaun scam di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau menghubungi talian Infoline CCID di 013-211 12 22 atau hubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran.

“Jangan dedahkan maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali dan apa jua iklan yang dipaparkan di laman sosial.

“Elakkan berurusan dengan laman web yang mencurigakan dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang menarik, murah tanpa melihat secara fizikal.

“Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan terperinci dengan agensi penguat kuasa berkaitan sebelum apa-apa pembayaran dibuat. Jadilah pengguna yang bijak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:18 PM