AKSI Ratchanok ketika menentang pemain Taiwan Hsu Wen Chi dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Badminton Piala Uber 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
AKSI Ratchanok ketika menentang pemain Taiwan Hsu Wen Chi dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Badminton Piala Uber 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Chengdu Bekas juara dunia perseorangan wanita 2013, Ratchanok Intanon meramalkan peluang Thailand mengulangi pencapaian gelaran naib juara Piala Uber 2018 adalah sukar pada edisi 2024 di sini.

Ratchanok, yang mengetuai Thailand meraih naib juara di laman sendiri di Bangkok pada 2018, berkata kekurangan keyakinannya kali ini berdasarkan beliau bergelut dengan kecederaan buku lali tahun lalu serta ketiadaan pemain beregu Benyapaa Aimsaard akibat kecederaan lutut.

"Kami kehilangan Benyapaa sebelum ini...jadi ia akan menjadi cabaran sengit dan sukar untuk mengulangi kejayaan 2018," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Thailand tumbang 0-3 kepada Jepun pada final edisi 2018, sekali gus kekal sebagai pencapaian terbaik pasukan wanita negara itu sejak mula menyertai Piala Uber pada 1969.

Pada edisi kali ini, Thailand akan menentang juara tiga kali Indonesia pada suku akhir Jumaat ini.

Terdahulu, Ratchanok, juara Asia 2015, menundukkan Wen Chi Hsu 21-18, 21-18 untuk memberi inspirasi kepada Thailand menang 5-0 ke atas Taiwan bagi mengungguli saingan Kumpulan B.

Thailand memulakan kempen Piala Uber 2024 dengan menumpaskan Australia 5-0 Ahad lalu sebelum mengalahkan Malaysia dengan keputusan sama kelmarin.

Sementara itu, Ratchanok, 29, berharap untuk bersedia dari segi fizikal dan mental untuk beraksi di Sukan Olimpik keempatnya di Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Pencapaian terbaik Ratchanok dalam Sukan Olimpik ialah mara ke suku akhir dalam dua edisi - pada penampilan sulungnya di London 2012 dan Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:54 PM