PENUTUP mulut dan hidung. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
PENUTUP mulut dan hidung. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Shahrinnahar Latib


SERAMAI 23 individu di Pahang ditipu dalam urusan jual beli penutup mulut dan hidung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan kerugian berjumlah RM62,984.

“Kerugian paling tinggi berjumlah RM21,343 iaitu membabitkan kes di Kuantan pada 25 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, dalam satu kes, seorang kontraktor wanita berusia 45 tahun di Kuantan kerugian RM1,976 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup mulut dan hidung pada 23 Mac lalu.

“Pada hari kejadian mangsa melayari Facebook (FB) dan melihat jualan barang berkenaan sebelum berhubung dengan seorang wanita dan bersetuju untuk membeli 83 kotak berharga RM1,976.

“Mangsa membuat empat kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan namun sehingga hari ini wanita berkenaan masih belum menerima penutup mulut dan hidung berkenaan,” katanya.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam supaya membuat semakan nombor akaun di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang pindahan wang.

“Jangan mendedahkan maklumat peribadi anda kepada individu yang tidak dikenali di laman sosial. Sentiasa membuat semakan daripada pembeli dalam talian lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 4:47 PM