PEMAIN Pahang Rangers menjalani latihan menghadapi saingan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA, esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN Pahang Rangers menjalani latihan menghadapi saingan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA, esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kehadiran pasukan jemputan berstatus juara futsal Piala AFF 2022, Bintang Timur Surabaya dari Indonesia akan merancakkan lagi saingan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru di Stadium Tertutup SUKPA, di sini bermula esok.

Skuad bimbingan jurulatih kelahiran Sepanyol, Diego Rios pastinya menjadi pencabar utama pasukan tuan rumah, Pahang Rangers FC yang berusaha mencari rentak baharu selepas berehat panjang saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL).

Skuad Tok Gajah bimbingan jurulatih, Gerard Casas akan menerima aib sekiranya barisan pemain gagal mempamerkan persembahan terbaik apabila berhadapan wakil Indonesia itu yang muncul juara Pro Futsal League musim 2021, 2022 dan 2023.

Turut perlu diberi perhatian Pahang Rangers yang kini berada di tangga kedua liga ialah wakil Vietnam, Thai Son Bac dan Sabah FA.

Dua kelab berkenaan juga memiliki kelebihan tersendiri mengugat lawan.

Pasukan Bintang Timur Surabaya membariskan dua pemain import kelahiran Belanda, Khalid El Hattach dan Karim Mossaoui.

Bagi Casas, dia memberi perhatian semua pasukan yang beraksi pada perlawanan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru kali ini. Setiap pasukan memiliki keupayaan tersendiri dan mereka membawa misi pulang dengan kejayaan.

"Walaupun hanya perlawanan persahabatan namun saya tetap memberi perhatian serius, setiap kesilapan dilakukan pemain mengundang kekalahan yang memalukan.

"Saya telah mengingatkan pemain supaya beraksi dengan penuh semangat dan beri persembahan terbaik. Kemenangan pada perlawanan berkenaan amat diperlukan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:40 PM