SARMIN Surat, pembuat songkok OKU sedang menjahit kerangka songkok di kediamannya Papar. FOTO Rafiqah Dahali
SARMIN Surat, pembuat songkok OKU sedang menjahit kerangka songkok di kediamannya Papar. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


KEBIASAANNYA Ramadan adalah bulan yang sibuk buat Sarmin Surat, 46, kerana menyiapkan tempahan songkok pelanggannya.

Namun, Ramadan kali ini suasananya berbeza susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Sarmin yang mempunyai cacat penglihatan mata kiri itu berkata, sebelum ini dia menerima mencecah 400 tempahan songkok sempena Hari Raya Aidilfitri, namun tahun ini hanya menerima kira-kira 200 tempahan sahaja.

"Saya juga sukar mencari bahan untuk membuat songkok seperti kain baldu hitam, kad manila dan butang memandangkan banyak kedai ditutup dalam tempoh PKP.

"Biasanya saya mendapatkan kain baldu hitam di Papar, kad manila di Kolombong dan butang di Segama, Kota Kinabalu," katanya.

Menurut anak jati Papar itu, dia kini dalam proses menyiapkan tempahan songkok dari Papar dan Putatan sahaja yang diterima sebelum PKP berkuat kuasa.

"Sebelum ini, selain terima tempahan daripada pemborong, saya juga terima permintaan membuat songkok daripada penduduk kampung.

"Sekarang saya langsung tidak menerima sebarang tempahan penduduk kampung. Ini di luar jangkaan saya," katanya.

Katanya, selain menghadapi kesukaran membuat songkok, PKP juga menjejaskan pendapatannya sebagai pemandu bas sekolah apabila sekolah ditutup sejak pertengahan Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 11:15 AM