FOTO Rafiqah Dahali
FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


CACAT penglihatan sebelah mata tidak menghalang Sarmin Surat, 44, di Papar untuk mengusahakan pembuatan songkok yang menjadi pendapatan utamanya untuk menyara isteri serta empat anak sejak lebih 20 tahun lalu.

Walaupun mengusahakan aksesori pelengkap baju Melayu itu secara kecil-kecilan di rumah, namun dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan terutama menjelang Ramadan apabila ramai pihak mula menempah untuk dipakai pada Aidilfitri.

Mula menjual songkok hasil tangannya menggunakan basikal di bazar Ramadan suatu ketika dulu, kini Sarmin mampu berbangga kerana bukan sahaja menerima tempahan menjelang Syawal, malah turut menerima tempahan khas dari jabatan dan agensi kerajaan untuk perbarisan Hari Kebangsaan.

Anak kelahiran Papar itu berkata, Ramadan adalah waktu paling sibuk bagi tukang songkok sepertinya kerana tempahan meningkat sehingga hampir 10 kali ganda.

“Pada bulan biasa, saya biasanya menghasilkan kurang 50 songkok kecuali jika menerima tempahan khas. Bagaimanapun, menjelang Ramadan tempahan terlalu banyak dan sehingga minggu kedua Ramadan ini saya sudah menghasilkan hampir 400 songkok yang ditempah pelanggan dan kedai.

“Disebabkan tempahan yang terlalu banyak, saya mula mengambil tempahan untuk kuantiti banyak dua bulan sebelum puasa,” katanya kepada NSTP.

Sarmin berkata, dia mampu menghasilkan satu songkok dalam masa kurang setengah jam.

“Cabaran membuat songkok bukan dari kemahiran menjahit, tetapi proses menyukatnya yang membuatkan ia rumit kerana ada pelbagai saiz dan ukuran berbeza untuk sesebuah songkok, bergantung dengan permintaan pelanggan,” katanya.

Menceritakan detik mula mengusahakan songkok, bekas kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains Sabah itu berkata, dia mula belajar menghasilkan songkok ketika berusia 21 tahun daripada bapa mentuanya.

“Selain songkok, bapa mentua juga serba boleh dan mampu menghasilkan gambus, menjahit baju Melayu, membuat tarbus, sarung parang dan sebagainya.

“Kemahiran membuat songkok seolah-olah menjadi tradisi turun-temurun keluarga sebelah isteri.

“Selepas empat tahun belajar, akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjual songkok dan menjadikannya sebagai perusahaan keluarga,” katanya.

Dia yang memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori cacat penglihatan di mata kiri berkata, dia mendapat bantuan isteri dan songkok yang sudah siap dihantar ke kedai menjual kain sekitar Papar, Beaufort, Sipitang, Membakut, Putatan dan Kota Kinabalu.

“Selebihnya saya jual kepada orang kampung atau mereka yang membuat tempahan secara terus,” katanya.

Menurutnya, Ramadan sentiasa mengimbau memori ketika mula menjual songkok di bazar Ramadan suatu ketika dulu dengan menyusun kotak songkok di belakang basikal untuk menjualnya kepada pengunjung bazar.

“Apabila waktu berbuka semakin hampir, barulah saya pulang ke rumah. Rumah pula gelap dan ketika itu hanya diterangi lampu pam sahaja kerana belum mempunyai kemudahan elektrik.

“Ketika itu, pendapatan diterima dari Jabatan Mineral dan Geosains Sabah bukanlah pendapatan bulanan. Setiap kali dihantar bertugas masuk ke dalam hutan pada hari tertentu, barulah saya dibayar.

“Jadi saya menambah pendapatan dengan membuat songkok yang ditempah pelanggan demi menyara isteri dan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 2:55 PM