MOHD Nasrum bersama songkok yang dihasilkannya di Bazar Muhibah. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Nasrum bersama songkok yang dihasilkannya di Bazar Muhibah. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PENIAGA di sini tidak menyangka songkok jualannya meningkat tiga kali ganda menjelang Aidilfitri berbanding tahun sebelumnya.

Mohd Nasrum Hassan, 47, berkata, setakat ini 1,000 unit sudah terjual dan tempahan tinggi diterima dalam tempoh tiga minggu.

“Saya memang tidak sangka rezeki Ramadan tahun ini begitu menggalakkan sehingga songkok hampir habis dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Rata-rata pembeli bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelanggan dari luar daerah ini.

“Malah kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Rabu lalu turut menyumbang kepada peningkatan tempahan,” katanya ketika ditemui.

Mohd Nasrum berkata, ketika itu songkok dibeli ramai pegawai kerajaan yang berkeperluan.

Dia yang mengusahakan perniagaan peninggalan arwah bapanya, Hassan Jantak, sudah berpengalaman membuat songkok selama 26 tahun.

“Saya menjual pelbagai jenis songkok antaranya, songkok istimewa bersaiz 10.16 sentimeter tinggi dan biasa yang berharga antara RM20 hingga RM160 mengikut kualiti kain dan reka bentuk.

“Boleh dikatakan hampir semua songkok dalam simpanan yang disediakan sejak tiga bulan lalu habis terjual,” katanya yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir di sini.

Katanya, walaupun hanya mengambil masa 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan sebiji songkok, permintaan tinggi menyukarkannya untuk memenuhi permintaan semua pelanggan.

“Saya berbangga dengan sedikit kemahiran yang ada memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan songkok untuk rakyat Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:30 AM