MASKUR menyiapkan tempahan songkok di rumahnya di Taman Pandan Perdana, Kuantan.
MASKUR menyiapkan tempahan songkok di rumahnya di Taman Pandan Perdana, Kuantan.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Di sebalik kudrat seorang lelaki berusia 60 tahun, tersimpan ‘tangan ajaib’ yang handal menjahit songkok secara tradisional.

Pembuat songkok berkenaan, Maskur Amad juga memiliki pengalaman lebih 30 tahun lalu membuat songkok menggunakan mesin jahit lama.

Justeru, tidak hairanlah apabila pengusaha songkok ini menjadi antara orang paling sibuk menjelang Syawal bagi menyiapkan tempahan yang meningkat dengan mendadak.

Maskur ketika ditemui berkata, dia tidak menang tangan menyempurnakan tempahan daripada pemborong dan pelanggan setiap kali menjelang Syawal.

Katanya, dia perlu menyiapkan tempahan sehingga 1,500 songkok daripada pelanggan yang datang dari seluruh negara sempena \ Aidilfitri ini.

“Permintaan yang diterima sepanjang Ramadan ini biasanya memang luar biasa hingga kadangkala di luar kemampuan saya.

“Ini kerana tempahan bukan sahaja diterima daripada orang perseorangan, malah peniaga yang mahu songkok buatan saya dijual di kedai mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pandan Perdana di sini, semalam.

Bagaimanapun, sejak meningkat usia, dia tidak lagi dapat menerima tempahan yang banyak kerana kudratnya sudah tidak lagi mampu untuk dikerah seperti peringkat awal beliau menceburi bidang membuat songkok.

Menceritakan mengenai pembabitan awalnya dalam pembuatan songkok itu, Maskur berkata, dia mewarisi ilmu membuat songkok dari datuknya yang tinggal di Padang, Indonesia.

“Saya mula berjinak-jinak mempelajari cara membuat songkok menerusi pemerhatian datuk membuat songkok dan perlahan-lahan saya memahami teknik pembuatannya,” katanya.

Menurutnya, songkok yang dibuatnya menggunakan kain baldu berkualiti tinggi dan dijual pada harga antara RM35 hingga RM65.

“Saya turut berniaga di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang sepanjang Ramadan selepas berbuka puasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:30 AM