Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Jualan songkok mencecah RM6,000 sejak minggu pertama Ramadan dan ia meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu," kata Adnan Husin.

Adnan, 65, dari Kampung Lonsong, di sini, iaitu pembuat songkok tradisional menggunakan tangan, berkata tempahan dan jualan songkok meningkat pada tahun ini selepas terjejas teruk susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara, tahun lalu.

"Trend tempahan dan pembelian songkok yang meningkat memberi kelegaan kepada saya kerana merudum teruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sehingga menjejaskan pendapatan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur sangat kerana Ramadan kali ini berbeza apabila tempahan yang diterima di luar jangkaan," katanya.

Katanya, dia menjual songkok tradisional pada harga RM50 sehingga RM150 setiap satu bergantung kepada ketinggian dan jenis baldu yang ditempah pelanggan.

"Dua jam setengah diperlukan untuk menyiapkan sebiji songkok. Saya menggunakan fabrik baldu berkualiti yang diperoleh daripada pembekal dari Pulau Pinang.

"Istimewanya songkok ini menggunakan kain sebagai pelapik di bahagian dalam untuk keselesaan dan bukannya plastik seperti songkok buatan kilang yang terdapat di pasaran," katanya yang menjalankan perkhidmatan itu sejak 1983.

Adnan menerima tempahan daripada semua golongan pelanggan  selain kedatangan pelanggan baharu dengan harga songkok dijual bermula pada harga RM50 sehingga RM150 bergantung pada saiz dan jenis kain yang digunakan.  FOTO GHAZALI KORI

Menurutnya, sambutan memang tidak semeriah dua atau tiga tahun lalu, namun sekurang-kurangnya perniagaan Songkok Warisan ini kembali bernafas dengan tempahan kian meningkat.

"Saya menyasar hasil jualan songkok mencapai sekitar RM8,000 dan jumlah itu sudah dikira tinggi memandangkan perayaan Aidilfitri tahun ini disambut dalam norma baharu.

"Selain tempahan orang ramai, songkok buatan saya juga pernah ditempah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan orang kenamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:35 PM
Adnan  tekun menyiapkan tempahan songkok tradisional untuk dijual kepada pelanggan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dikedainya, Kampung Losong. FOTO GHAZALI KORI
Adnan tekun menyiapkan tempahan songkok tradisional untuk dijual kepada pelanggan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dikedainya, Kampung Losong. FOTO GHAZALI KORI