HASNISALFINA membersihkan songkok siap dijahit di kedainya di pekan Kuala Pilah. FOTO AMRAN YAHYA.
HASNISALFINA membersihkan songkok siap dijahit di kedainya di pekan Kuala Pilah. FOTO AMRAN YAHYA.
Amran Yahya


WANITA pembuat songkok tunggal di Kuala Pilah, Hasnisalfina Mohd Yunus cekal meneruskan legasi menghasilkan kelengkapan lelaki itu yang ditinggalkan arwah suaminya.

Hasnisalfina, 52, berkata sejak suaminya meninggal dunia pada 2004, dia meneruskan usaha menguruskan kedai songkok Seri Warisan itu.

“Kedai ini adalah hasil usaha arwah suami dan selepas dia meninggal dunia, saya mengambil alih sepenuhnya premis ini.

“Jumlah jualan memang meningkat pada musim perayaan berbanding dengan hari biasa, namun berbeza pula pada tahun ini.

“Saya menjual songkok berharga RM25 hingga RM75 bergantung kepada jenis baldu dan saiz sama ada songkok tersedia atau ditempah,” katanya.

Bagaimanapun, Hasnisalfina berkata, keputusan kerajaan negeri mengumumkan tiada bazar Ramadan pada tahun ini serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula memberi kesan terhadap songkok dihasilkannya.

Beliau yang mengusahakan songkok sejak lebih 20 tahun lalu berkata, bukan sahaja bazar Ramadan, malah songkoknya turut dijual peniaga pasar malam, pasar tani selain tempahan daripada individu.

“Sejak awal tahun ini, saya mula menjahit untuk stok Aidilfitri dan kini lebih 300 songkok tersedia untuk diagihkan kepada peniaga.

“Namun, sekiranya PKP masih berterusan, sudah pasti tiada keperluan orang ramai untuk memakai songkok pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Hasnisalfina berkata, tempahan songkok daripada individu amat berkurangan berbanding tahun sebelum ini mungkin berikutan orang ramai berwaspada dengan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 5:10 PM