Mohd Nasrul menjahit songkok  di kedainya di Bazar Muhibah bandar Pekan.
Mohd Nasrul menjahit songkok di kedainya di Bazar Muhibah bandar Pekan.
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Kehalusan jahitan dan kualiti produk dihasilkan menjadi kelebihan kepadanya untuk menjadi individu tunggal di Pahang yang layak menghasilkan songkok untuk kegunaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sejak lebih 25 tahun lalu.

Dalam tempoh itu, lebih 20 songkok sudah dihasilkan khas mengikut rekaan citarasa baginda dengan identiti utama kain baldu berwarna hitam dan saiznya yang rendah daripada biasa serta sedikit bulat di bahagian depan.

“Saya bertuah dan berbangga menjadi individu tunggal di negeri ini diberi kepercayaan menghasilkan songkok untuk kegunaan Sultan Pahang pada majlis rasmi dalam dan luar negara.

“Walaupun tanpa pendidikan tinggi dan latihan khusus, saya masih mampu menghasilkan produk untuk kegunaan semua peringkat,” kata Mohd Nasrul Hassan, 45, yang menjalankan perniagaan di Bazar Muhibah, bandar Pekan, di sini.

Mohd Nasrul yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya Hassan Jantak berkata, dia mula membuat pelbagai jenis songkok sejak di bangku sekolah pada 1992 bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Disebabkan minat dia meneruskan aktiviti membuat songkok selepas menamatkan persekolahan bersama arwah bapanya yang sudah terkenal dengan kemahiran membuat songkok.

Katanya, selain menghasilkan songkok Sultan Pahang, dia pernah sekali membuat songkok untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain kerabat diraja Pahang dan orang kenamaan di negeri ini dan luar.

Mohd Nasrul yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir, di sini, berkata dia menghasilkan dua jenis songkok iaitu songkok rendah dan tinggi yang hanya digunakan individu tertentu di negara ini.

“Untuk mengekalkan permintaan terhadap songkok dihasilkan, saya sentiasa menjaga kualiti terutama membabitkan jahitan dan jenis kain digunakan, saya tidak mahu pelanggan rasa tertipu apabila membeli songkok.

“Harga ditawarkan berpatutan iaitu RM20 hingga RM180 sebiji bergantung kepada jenis kain digunakan. Songkok berharga RM20 khusus untuk pelajar dan kanak-kanak,” katanya yang menggunakan dua unit mesin jahit.

Menurutnya, dia mampu menghasilkan 50 hingga 60 songkok pelbagai jenis dan saiz sebulan dan bagi menyiapkan sebiji songkok ia mengambil masa tiga hingga empat jam dengan jahitan sulaman bahagian dalam songkok antara yang perlu diberikan perhatian.

Mohd Nasrul berkata, permintaan songkok pada Ramadan akan bertambah dua hingga empat kali ganda dan bagi memenuhi permintaan dia terpaksa menjahit di rumah pada waktu malam.

“Setiap kali Ramadan saya mampu menjual hingga 2,000 songkok, selain pelanggan tetap ada juga kali pertama mencuba songkok yang dihasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:35 AM