NURHAYATI Abu Bakar menunjukkan sebahagian songkok yang dijual dengan harga serendah RM24 sehingga RM190 bergantung kepada saiz dan kualiti kain yang digunakan ketika ditemui di kedai songkok miliknya di Jalan Temenggong. FOTO Syaherah Mustafa
NURHAYATI Abu Bakar menunjukkan sebahagian songkok yang dijual dengan harga serendah RM24 sehingga RM190 bergantung kepada saiz dan kualiti kain yang digunakan ketika ditemui di kedai songkok miliknya di Jalan Temenggong. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


PENGUSAHA songkok menerima hampir 10,000 tempahan sempena Aidilfitri daripada pelanggan seluruh negara.

Pengusahanya, Nurhayati Abu Bakar, 40, yang juga generasi ketiga dalam perusahaan songkok milik keluarga, berkata beliau dan tujuh pekerjanya sangat sibuk di minggu pertama Ramadan untuk menyiapkan tempahan.

Katanya, tempahan sudah diterima tiga bulan sebelum Aidilfitri daripada pelanggan bukan saja dari Kelantan, malah seluruh negara.

“Songkok yang kami hasilkan berbeza daripada tempat lain kerana mementingkan kualiti dan keselesaan pemakai selain menggunakan kain baldu berkualiti tinggi.

“Songkok kami hasilkan dijual pada harga antara RM24 sehingga RM190 untuk satu songkok bergantung kepada saiz dan kualiti kain digunakan.

“Di awal Ramadan ini, tempahan diterima berlipat kali ganda berbanding hari biasa sehingga saya dan pekerja tidak dapat bercuti bagi menyiapkan permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedai songkok miliknya di Jalan Temenggong, Kota Bharu, hari ini.

Nurhayati berkata, proses paling rumit dalam pembuatan songkok adalah lilitan kain baldu yang memerlukan pekerja mahir dan agak sukar untuk mencari mereka yang pandai membuatnya.

“Kain perlu dililit dan dijahit dengan penuh ketelitian dan kesabaran kerana ini adalah proses utama bagi menghasilkan songkok yang kelihatan kemas dan selesa dipakai.

“Proses lain hanyalah membuat tempurung songkok dan kami menggunakan kain dan kertas untuk menghasilkannya dalam pelbagai saiz.

“Sebelum ini, kami ada menerima tempahan daripada orang ternama dan kerabat diraja untuk Hari Keputeraan dan sebagainya,” katanya yang juga ibu kepada empat cahaya mata.

Tambahnya lagi, songkok dihasilkannya itu diletakkan di kedai seluruh Kelantan selain mempunyai ejen yang memasarkan songkok di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:51 PM