DR Muhammad Fathi Yusof. FOTO Supian Ahmad
DR Muhammad Fathi Yusof. FOTO Supian Ahmad
Omar Ahmad


PENYEBAR berita palsu, sama ada dalam kalangan ahli parlimen, bekas menteri atau bekas timbalan menteri, tidak kebal daripada undang-undang.

Pensyarah Kanan, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, apabila berita palsu disebarkan oleh pemimpin dalam kalangan golongan terbabit, ia tetap perlu diambil tindakan.

"Bahkan dalam konteks penyebaran berita palsu, pemimpin sepatutnya menerima atau ambil pengajaran yang lebih besar kerana mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan pengikut.

"Sebab itu tindakan terhadap pemimpin yang sebarkan berita palsu ini perlu. Bagaimanapun, hukuman bersalah atau sebaliknya terpulang kepada mahkamah, bukan kita di luar ini yang tentukan" katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok, berhubung penyebaran berita palsu menerusi hantaran di laman Facebook (FB) miliknya.

Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan Fuziah berhubung rakaman video orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru yang dimuat naik menerusi akaun FB miliknya.

Menurut Dr Muhammad Fathi, perlu ada etika ketat berkaitan penyebaran berita palsu supaya ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat.

"Ketika ini, negara berdepan Covid-19 dan kita perlukan maklumat yang benar dan tepat supaya rakyat dapat patuhi arahan kerajaan bagi mengekang pandemik ini.

"Penyebaran berita palsu boleh menjejaskan kelancaran proses memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 5:57 PM