SEORANG daripada dua lelaki berkenaan yang cedera selepas cuba meloloskan diri di pagar kawat berduri di kawasan berkenaan.
SEORANG daripada dua lelaki berkenaan yang cedera selepas cuba meloloskan diri di pagar kawat berduri di kawasan berkenaan.
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA kerana bosan dan panas, dua lelaki warga Myanmar cuba meloloskan diri dari kawasan rumah sewa mereka di Selayang Baru, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklumkan oleh penduduk di bangunan bersebelahan yang melihat kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 23 dan 24 tahun cuba meloloskan diri menerusi pagar kawat berduri dipasang di kawasan berkenaan kira-kira jam 6 petang, semalam.

"Bagaimanapun, cubaan mereka meloloskan diri gagal apabila seorang daripada mereka terjatuh menyebabkannya luka di bahagian kaki, tangan dan belakang badan.

"Lelaki yang mengalami luka berkenaan dibawa ke Hospital Selayang dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di Selayang Baru, di sini, hari ini.

Arifai berkata, semakan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Hasil soal siasat dilakukan kedua-dua lelaki itu memaklumkan mereka mahu meloloskan diri kerana bosan dan panas berada di dalam rumah selepas kawasan rumah sewa berkenaan dikenakan PKPD.

"Malah, mereka juga mengakui tidak berdepan sebarang masalah lain seperti kekurangan makanan kerana dibekalkan bantuan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai yang mempunyai kenalan atau saudara berada dalam kawasan PKPD berkenaan supaya tidak menyerahkan sendiri bekalan kepada penduduk kerana lokasi terbabit dikawal pihak berkuasa.

"Bagi mereka yang mahu menghantar bekalan kepada penduduk boleh menghubungi talian hotline atau bilik gerakan selain berhubung dengan petugas di pos kawalan untuk menyampaikan bekalan itu.

"Orang ramai perlu faham bahawa bekalan itu tidak boleh disampaikan sendiri demi menjaga keselamatan dan mengelak perkara tidak diingini berlaku termasuk penularan Covid-19," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ada anggota polis bertugas meminta rasuah untuk menyampaikan bekalan kepada penduduk, beliau memaklumkan tiada laporan diterima berhubung perkara itu.

"Saya menafikan dakwaan itu memandangkan tiada laporan polis diterima berkaitan perkara berkenaan," katanya

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 60 peratus daripada lebih 3,000 penduduk yang berada dalam kawasan PKPD berkenaan sudah menjalani ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 4:26 PM