ANTARA barang kes dirampas daripada sindiket curi kabel. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang kes dirampas daripada sindiket curi kabel. FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seramai 17 individu termasuk enam wanita ahli sindiket curi kabel talian milik sebuah syarikat telekomunikasi dicekup polis di sebuah banglo di Alor Gajah, dekat sini, Sabtu lalu.

Hasil penahanan ahli sindiket terbabit yang menggunakan taktik menyamar pekerja syarikat terbabit, polis merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai keseluruhan RM400,000.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, terdahulu laporan berhubung kecurian itu dibuat kakitangan syarikat terbabit di Balai Polis Tiang Dua pada jam 8.07 malam.

Menurutnya, pengadu menyatakan diberitahu oleh pengawal keselamatan bahawa penutup sebuah 'manhole' di Jalan Pengkalan Minyak, Ayer Molek terbuka dan kabel talian bawah bersaiz 800 pair sepanjang 1,400 meter hilang disyaki dicuri.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan dibantu anggota IPD Alor Gajah menahan 17 suspek terdiri daripada sembilan lelaki Melayu dan masing-masing seorang lelaki Cina dan India serta enam wanita Melayu di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Tulip A Famosa, Alor Gajah pada jam 12.23 malam.

"Semua suspek berusia 18 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri kabel di sekitar Melaka.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barang iaitu 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 204 batang kabel bertulis TM Berhad, sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda, sembilan unit mesin pemotong dan pelbagai peralatan curi kabel dianggarkan bernilai keseluruhan RM400,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainol berkata, menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan, 16 suspek dikesan positif dadah jenis methampthetamine dan semakan rekod mendapati lapan daripada individu terbabit mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.

Katanya, sindiket terbabit aktif sejak setahun lalu dan mereka direman lima hari mulai 26 Mei lalu.

"Lima suspek lelaki disyaki dalang utama kegiatan curi dan melupuskan kabel ini yang dijual di kedai barangan terpakai di sekitar Melaka dan Selangor.

"Modus operandi mereka adalah menyamar sebagai pekerja kontrak syarikat terbabit dengan memakai baju pemantul cahaya sejak setahun lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:58 PM