GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan ini dan Selayang dalam tiga serbuan berasingan di Country Homes, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan rumahnya di Taman Sri Selayang, Batu Caves dipecah masuk pada 25 September lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa memaklumkan kehilangan telefon bimbit serta wang tunai dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM1,000.

"Susulan maklumat itu, kami menyerbu sebuah rumah di Country Homes, 12.30 tengah malam kelmarin dan menahan seorang lelaki tempatan.

"Hasil pemeriksaan menemui barang milik mangsa serta pelbagai barangan lain disyaki hasil kegiatan pecah rumah selain peralatan digunakan untuk jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya menyerbu sebuah lagi rumah di Country Homes pada 1.30 pagi hari sama, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Country Homes kira-kira dua jam kemudian dan menahan dua lelaki tempatan.

"Suspek bergelut dengan polis ketika cuba melarikan diri sebelum akhirnya ditahan dan hasil pemeriksaan, kami merampas dua pisau.

"Siasatan awal mendapati semua suspek berusia antara 19 hingga 31 tahun itu disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Sri Selayang itu.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah dan kami percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dan curi kenderaan selain satu kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di Rawang dan Selayang," katanya.

Beliau berkata, tiga daripada empat suspek itu direman selama tujuh hari iaitu bermula semalam hingga 20 November ini, manakala seorang lagi suspek direman empat hari bermula semalam hingga 17 November ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:31 PM