PETUGAS KKM membuat bancian penduduk sekitar Taman Seksyen 3, Petaling Jaya bagi perlaksanaan PKPD. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS KKM membuat bancian penduduk sekitar Taman Seksyen 3, Petaling Jaya bagi perlaksanaan PKPD. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan lima individu selepas disyaki melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman pada hari pertama perlaksanaannya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 30-an memandu dalam keadaan mabuk dan tangkapan kedua membabitkan empat lelaki yang cuba meloloskan diri.

"Ketika saya bersama beberapa anggota membuat persiapan memasang kawat duri di hadapan Pasar Jalan Othman, kira-kira 12 tengah malam, datang van memecut laju ke arah kami.

"Bagaimanapun, pemandu sempat berhenti. Hasil pemeriksaan, pemandu itu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, polis turut menahan empat individu yang cuba meloloskan diri dari kawasan PKPD," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi PKPD Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, kawasan PKPD membabitkan tiga zon di Pasar Jalan Othman itu merangkumi keluasan 34 hektar yang mempunyai 439 rumah didiami 2,600 penghuni, termasuk warga asing.

Beliau berkata, setakat ini pemantauan mendapati keadaan terkawal dan bantuan bekalan makanan juga sudah diagihkan kepada semua penduduk hari ini.

"Semua penduduk akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas ini yang dijangka bermula petang ini.

"Petugas kesihatan dengan dibantu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membawa penduduk ke pusat saringan di tiga zon berasingan," katanya.

Katanya, petugas kesihatan juga akan melakukan saringan dari rumah ke rumah untuk golongan warga emas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 2:50 PM