Mohd Zaidi (kiri) melakukan tinjauan di lokaliti kawasan PKPD di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Mohd Zaidi (kiri) melakukan tinjauan di lokaliti kawasan PKPD di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kawalan ketat polis di laluan masuk dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berjaya menghalang cubaan keluar beberapa penduduk dari kawasan berkenaan.

Cubaan menyusup keluar dari kawasan PKPD bermula 1 Jun hingga 16 Jun itu dikesan di Kampung Tanjung Aru dan Kuala Manggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, arahan untuk tidak keluar dari kawasan PKPD jika tidak mempunyai urusan penting tidak diendahkan segelintir penduduk.

"Mereka memberikan alasan remeh termasuk berjumpa dengan saudara yang mana alasan terbabit secara terang menyalahi prosedur operasi standard (SOP) di kawasan dikenakan PKPD.

"Tindakan untuk berjumpa dengan ahli keluarga juga salah satu sebab kenaikan kes yang tinggi sehingga Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mengenakan PKPD di lokaliti ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan Kampung Tanjung Aru, hari ini.

Menurutnya, seramai 15 pegawai dan anggota dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan ahli Kwasan Rukun Tetangga (KRT) ditugaskan untuk memantau PKPD di dua lokaliti berkenaan.

Katanya, penugasan itu termasuklah memantau Kampung Tanjung Aru yang mencatatkan sembilan kes positif membabitkan 27 rumah dan 47 keluarga dengan keseluruhan 198 penduduk.

"Bagi Kampung Kuala Manggatal kira-kira 2,000 penduduk terbabit di 134 rumah manakala kedua-dua lokaliti ini turut dikawal rapi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dari kawasan laut.

"Saya menasihatkan penduduk di dua perkampungan ini supaya mematuhi SOP sepenuhnya dan hanya keluar jika ada keperluan penting serta mendapatkan bekalan makanan sahaja.

"Penduduk juga diingatkan untuk terus bekerjasama kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan menjalankan menjalankan swab test (ujian calitan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:00 PM