LELAKI warga Myanmar ditahan ketika cuba meloloskan diri melalui pagar kawat duri di Jalan 9/3A berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO ihsan pembaca
LELAKI warga Myanmar ditahan ketika cuba meloloskan diri melalui pagar kawat duri di Jalan 9/3A berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki warga Myanmar ditahan ketika cuba meloloskan diri melalui pagar kawat duri yang dipasang di Jalan 9/3A berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, tangkapan itu dibuat ketika anggota polis dan tentera sedang membuat rondaan di lokasi berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

"Ketika rondaan dilakukan, suspek ditemui sedang cuba melepasi halangan yang dipasang pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lokasi terbabit.

"Memandangkan tangkapan itu dibuat dalam kawasan PKPD, suspek tidak dapat ditahan kerana dalam proses kuarantin serta risiko kesihatan jangkitan.

"Bagaimanapun, siasatan tetap dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Covid-19 Taman Sri Murni Tariq Asraf Shah berkata, kejadian seumpama itu juga pernah berlaku di Fasa 2 taman berkenaan pada minggu lalu.

"Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Myanmar cuba meloloskan diri dengan merosakkan pagar kawat duri, namun tidak berjaya dan ditahan pihak berkuasa.

"Mereka (warga asing) terutama dari Myanmar terlalu degil dan sanggup bertindak merosakkan halangan semata-mata mahu meloloskan diri dari kawasan PKPD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 4:40 PM