Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

PENGENDALIAN mayat pesakit koronavirus baharu (Covid-19) perlu dilakukan secara berhati-hati memandangkan ia boleh menjangkiti individu yang menguruskannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil bedah siasat mendapati virus berkenaan berada di permukaan kulit, cecair badan, air kencing dan organ dalaman.

"Kalau kita tidak teliti dalam pengurusan mayat, ia boleh menjangkiti orang yang menguruskannya," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Mengenai perkembangan rawatan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, lebih 89 peratus daripada pesakit adalah dari kategori satu (tiada gejala) dan dua (ada gejala ringan).

Katanya, mereka akan dimasukkan ke hospital untuk dipantau dan diberi rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, ubat Hydroxychloroquine akan diberikan kepada pesakit bergejala ringan pada peringkat awal untuk mengelakkan gejala menjadi lebih teruk.

"Tetapi bagi mereka yang datang pada peringkat lewat contohnya sudah ada banyak komplikasi yang dari segi paru-baru, organ dalaman, pendarahan dan sebagainya.

"Kita lihat kes yang baru laporkan iaitu warga Myanmar di kawasan pasar borong Kuala Lumpur, pesakit berusia 36 tahun datang pada peringkat yang lewat.

"Kita tak sempat nak buat apa pun. Kita cuba nak beri bantuan pernafasan, (tetapi) pesakit meninggal dunia, jadi kalau datang pada peringkat lewat agak sukar untuk kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 7:19 PM