Amir Abd Hamid


SERAMAI 5,123 individu daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling masih dikehendaki hadir bagi menjalani ujian persampelan koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 17,965 disaring, 12,842 sampel diambil, 1,254 positif, 7,084 negatif serta 4,504 masih menunggu keputusan daripada kluster perhimpunan tabligh itu.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan membuka lebih banyak hospital sementara sekiranya kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak.

Dr Noor Hisham berkata, hospital sementara yang dibuka akan menempatkan pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Contohnya hari ini kita dapat 150 kes baharu. Kalau kita lihat keadaan harian terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak, jadi kita mungkin akan buka lagi hospital sementara, dewan-dewan dan stadium, jika perlu.

“Kalau kita dapat 1,000 kes sehari, kita mungkin akan guna hospital sementara ini untuk kes-kes yang tak bergejala tetapi positif atau positif tetapi gejala ringan, yang tak membabitkan saluran pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.



Menurutnya, pemilihan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebagai lokasi hospital sementara adalah disebabkan melihat kepadatan penduduk khususnya di Kuala Lumpur.

“Jika jangkitan meningkat, kita akan gunakan hospital sementara di MAEPS,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
    GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 7:36 PM