Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Individu yang melengkapkan vaksinasi boleh dijangkiti Covid-19, namun kemungkinan untuk mereka menjangkiti individu lain adalah rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan mereka juga tidak menunjukkan gejala Covid-19 atau hanya mengalami gejala ringan.

Menurutnya, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 2,779 petugas kesihatan yang mendapat vaksin lengkap dijangkiti Covid-19.

"Daripada jumlah itu, majoriti mendapat jangkitan tahap satu dan dua, manakala masing-masing tiga kes tahap tiga dan empat.

"Selain itu, dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini juga, kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas, berkurangan sebaliknya peningkatan membabitkan pesakit muda.

"Ini kerana kebanyakan warga emas mendapat suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, penerima vaksin yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak bergejala atau hanya mengalami gejala ringan dibenar kuarantin di rumah, sekali gus mengurangkan kemasukan ke hospital.

"Kita harapkan rakyat Malaysia tampil ke depan untuk dapatkan vaksinasi lengkap iaitu dua dos. Dua minggu selepas dos kedua akan terjana antibodi untuk perlindungan dalaman.

"Dua kaedah perlindungan luaran dan dalaman yang kita laksanakan sekarang ini iaitu vaksinasi sebagai perlindungan dalaman dan amalan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlindungan luaran," katanya.

Justeru, beliau amat mengharapkan seluruh masyarakat tampil untuk mendapatkan vaksinasi sebagai perlindungan diri, keluarga dan semua rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:29 PM