Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengenal pasti enam negeri yang akan menjalankan saringan khusus kepada pekerja asing terutama di tapak pembinaan dan kilang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan akan dijalankan secara berperingkat dan pihaknya menjangkakan banyak kes positif akan dikenal pasti.

"KKM sudah buat kesiapsiagaan dengan membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri yang sudah dikenal pasti.

"Kita lihat 80 peratus kes positif membabitkan kategori 1 iaitu tiada gejala manakala kategori 2 iaitu gejala ringan dalam 14 peratus.

"Jadi kita lihat dalam 94 peratus kes akan ditempatkan di PKRC yang sudah dikenal pasti di setiap negeri seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Katanya, KKM yakin bagi pesakit kategori 3, 4 dan 5, hospital di negara ini masih boleh menampung peningkatan lima peratus.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Kita boleh lihat dalam tempoh dua hingga empat minggu ini, selagi kita boleh kekalkan kebolehjangkitan kurang daripada 1, kita mampu menampung jumlah pesakit di negara ini.

"Kebimbangan kita ialah kalau kebolehjangkitan meningkat kepada 1.5, jangkaan kes harian sehari dianggarkan 6,500 dan jika meningkat pada 2.2 boleh mencecah lima angka," katanya.

Menurutnya, KKM memerlukan kerjasama orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kini berlaku sedikit kelonggaran diberikan kerajaan.

"Walaupun SOP dilonggarkan tetapi ini tidak bermakna kita telah menang peperangan dengan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:56 PM