AZISMAN Alias pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.  FOTO BERNAMA
AZISMAN Alias pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMERIKSAAN teliti terhadap pengguna jalan raya di semua sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, anggota bertugas di setiap SJR akan memastikan orang ramai tidak mengambil peluang bergerak sesuka hati tanpa alasan munasabah.

“Kami sedia maklum mengenai pemeriksaan teliti di SJR yang dikatakan antara punca pergerakan kenderaan menjadi perlahan, namun pemantauan mendapati kesesakan itu tidak melebihi satu kilometer.

“Pemeriksaan teliti ini penting bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk keluar tanpa alasan munasabah dan melanggar arahan PKP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya juga meminta anggota bertugas di SJR supaya meletakkan papan tanda makluman pada jarak antara 500 meter hingga satu kilometer bagi membolehkan orang ramai mengetahui sekatan dilakukan.

“Tindakan itu bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini termasuk kemalangan kerana pengguna jalan raya tidak mengetahui mengenai SJR dilakukan di lokasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk provokasi daripada pengguna jalan raya yang enggan memberi kerjasama kepada petugas.

“Kami mendapati 70 peratus pengguna jalan raya mempunyai kebenaran untuk keluar kerana terbabit dalam perkhidmatan penting.

“Selebihnya pula, mereka yang memberi alasan keluar rumah untuk membeli barang, namun mematuhi arahan PKP dengan menaiki kenderaan berseorangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 3:22 PM