AZISMAN pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA
AZISMAN pada sidang media Trend Aliran Trafik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menubuhkan pasukan ‘Jammed Squad’ bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Pasukan terdiri daripada 20 pegawai dan anggota JSPT yang menunggang motosikal akan bergerak ke lokasi SJR termasuk melakukan pemantauan udara menggunakan dron.

Pengarahnya Datuk Azisman Alias berkata, pasukan itu ditubuhkan untuk memantau kesesakan lalu lintas di setiap SJR dan ia adalah inisiatif pihak polis dalam memberi respons dengan pantas.

“Hasil maklumat diterima termasuk melalui media sosial, pasukan itu akan melakukan rondaan di lokasi SJR yang sesak untuk melakukan pemantauan dan penyuraian trafik.

“Selain itu, kami juga membuka laluan khas kepada kenderaan perkhidmatan penting dan barisan hadapan di setiap SJR bagi mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, tindakan segelintir individu bukan kategori perkhidmatan penting keluar pada waktu puncak sepanjang tempoh PKP menyebabkan berlaku kesesakan ‘luar biasa’ terutama di Lembah Klang.

Katanya, berdasarkan analisis dilakukan di beberapa lokasi mendapati kesesakan berlaku pada dua waktu puncak terutama hari bekerja iaitu antara 7 pagi hingga 1 tengah hari serta 4 petang hingga 9 malam.

“Kami mengenal pasti beberapa lokasi di empat kontinjen yang mengalami kesesakan hingga lebih satu kilometer pada satu masa membabitkan enam lokasi di Kuala Lumpur, Selangor (5), Melaka (4) dan Johor (1).

“Antara punca utama kesesakan ini disebabkan tindakan segelintir individu bukan kategori dalam perkhidmatan penting keluar pada waktu puncak dengan alasan mahu membeli barang sekali gus menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan ketika itu.

“Selain itu, kesesakan ini juga disebabkan pertambahan kenderaan dalam tambahan sektor perkhidmatan penting yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini,” katanya

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar pada waktu puncak supaya kenderaan perkhidmatan penting dan barisan hadapan tidak berdepan kesesakan di lokasi SJR akibat pertambahan jumlah kenderaan.

“Sekiranya ada keperluan untuk bergerak bagi mendapatkan keperluan asas, orang ramai dinasihatkan tidak terburu-buru keluar pada waktu puncak.

“Pada masa sama, saya menasihatkan kenderaan perdagangan supaya dapat mengubah waktu penghantaran pada waktu bukan puncak bagi mengelak kesesakan,” katanya.

LOKASI HOTSHOT KESESAKAN SJR


Kuala Lumpur

1. Jalan Cheras hadapan Cheras Eko Mall

2. Jalan Travers menghala Bangsar

3. Lebuhraya Bukit Jalil menuju Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban

4. Jalan Loke Yew ke IPD Dang Wangi

5. Jalan Kuching ke susur Jalan Sultan Ismail

6. Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menuju ke pusat bandar


Selangor

1. Jalan Sungai Buloh-Kepong (Seirra Mas)

2. Laluan Sungai Ramal ke Putrajaya

3. Jalan hadapan IOI Mall Puchong

4. MRR2 dari Kepong ke Bulatan Batu Caves

5. Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya berhampiran pintu gerbang


Melaka

1. Jalan Limbungan

2. Jalan Malim/Balai Panjang

3. Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ)/Semabok

4. Jalan Batu Berendam


Johor

1. Jalan Pantai Lido

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 2:49 PM