DATUK Azmi Abu Kassim (tengah) melihat salah sebuah kereta mewah berjenama Tesla antara 3 buah kereta mewah yang dirampas di pekarangan IPD Dang Wangi.  FOTO Mohd Yusni Ariffin
DATUK Azmi Abu Kassim (tengah) melihat salah sebuah kereta mewah berjenama Tesla antara 3 buah kereta mewah yang dirampas di pekarangan IPD Dang Wangi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur akan melakukan pemeriksaan teliti di setiap 13 sekatan jalan raya (SJR) di ibu negara dan Putrajaya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya tidak melakukan penambahan SJR berikutan arahan baharu untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP berkenaan.

"Setakat ini, jumlah SJR kekal di sembilan lokasi di Kuala Lumpur serta empat lokasi di Putrajaya, namun, kami akan melakukan pemeriksaan teliti di setiap SJR berkenaan selaras dengan arahan baru memperketatkan SOP PKP.

"Sebelum ini, kami ada memberi kelonggaran apabila pemeriksaan dilakukan tidak begitu ketat, tetapi kali ini lebih teliti termasuk memastikan individu diperiksa mempunyai surat kebenaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Azmi berkata, terdapat dua lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ketika ini, iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Lembah Pantai.

"Pihak polis berperanan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguruskan penduduk di kawasan berkenaan termasuk pengagihan bekalan makanan.

"Kami berharap warga Kuala Lumpur mengambil berat terhadap pematuhan SOP supaya tiada lagi kawasan dalam Kuala Lumpur dkenakan PKPD," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan akan memperketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 3:58 PM