ARIFAI melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan setiap kenderaan di Plaza Tol Gombak menghala Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
ARIFAI melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan setiap kenderaan di Plaza Tol Gombak menghala Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan pihak polis membabitkan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak, di sini, bagi tempoh 13 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mengesan tiga jenis kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran yang dilakukan pihak terbabit.

Beliau berkata, kesalahan pertama adalah tiada surat kebenaran rentas negeri, manakala kedua, ada surat rentas negeri, namun tarikh tamat tempoh.

"Dalam kes ini, pihak terbabit sudah mendapat kebenaran untuk merentas negeri sama ada atas alasan kecemasan, kematian atau pasangan jarak jauh.

"Namun, pihak berkenaan melanjutkan tarikh asal yang diberi kebenaran oleh pihak polis untuk merentas negeri dengan alasan mahu meraikan Hari Raya di kampung halaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan pemeriksaan pada Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di SJR Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Arifai berkata, kesalahan ketiga pula membabitkan pihak yang menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri atas urusan kerja.

"Ada individu yang dikesan mempunyai surat kebenaran rentas negeri atas urusan kerja ke Pantai Timur, namun mereka membawa balik ahli keluarga bersama untuk pulang ke sini dengan memberikan alasan tidak munasabah.

"Perbuatan itu sama sekali menyalahi undang-undang dan melanggar SOP PKP. Disebabkan itu, kami mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,000 bagi atas kesalahan rentas negeri kepada pihak terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat pemeriksaan teliti terhadap semua jenis kenderaan yang melalui SJR Plaza Tol Gombak bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada melakukan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Pemeriksaan teliti yang dilakukan di SJR ini pada hari ini menyebabkan kesesakan kira-kira tiga kilometer di laluan ini. Bagaimanapun, kami mengambil pendekatan untuk membuka tiga lorong untuk mempercepatkan proses pemeriksaan.

"Selain kenderaan persendirian, kami turut memeriksa bas serta kenderaan berat secara rawak bagi memastikan tiada pelanggaran SOP membabitkan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran dilakukan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

"Kami akan menjalankan tugas dengan tegas tanpa kompromi lagi memandangkan jumlah kes Covid-19 yang direkodkan ketika ini amat menggusarkan dengan jumlah kes yang tinggi.

"Kami selalu menerima ucapan terima kasih daripada orang ramai sebagai penghargaan pengorbanan pihak polis bertugas di SJR. Namun, apa yang lebih kami harapkan adalah supaya orang ramai sentiasa mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 9:27 PM