FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Semua pelajar di daerah Kota Setar, Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran, Jumaat lalu, akan mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata, selain pelajar, semua pentadbir sekolah dan guru juga diarahkan melaksanakan proses sama sehingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

Katanya, pembelajaran secara dalam talian sangat penting bagi memastikan tiada pelajar tercicir meskipun dalam tempoh PKPD.

"Pihak sekolah diminta membantu kumpulan pelajar yang tidak mempunyai akses kepada talian Internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

"Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar atau pun ibu bapa boleh mengambilnya di sekolah," katanya.

Muslimin ditemui selepas program Dialog Prihatin Perikatan Nasional dan Pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara di Pantai Batu 23, Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, pembelajaran di rumah turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.

"Semalam (kelmarin) sahaja kita masih ada 800 slot siaran TV Pendidikan yang belum disiarkan.

"Keutamaan ini diberikan kepada pelajar yang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan berjaya menyelesaikan kira-kira 60 peratus pertukaran guru 'duka lara' di seluruh negara sejak 2016.

Menurutnya, pertukaran guru dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

"Contohnya guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak hendak bertukar ke Kelantan amat sukar kerana hanya kira-kira 100 orang ingin bertukar ke negeri lain berbanding 5,000 permohonan masuk ke negeri itu.

"Kita mencadangkan mereka (dari Sabah dan Sarawak) transit dahulu di Johor memandangkan ramai guru yang ingin keluar berbanding mereka yang ingin bertugas di negeri itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan.

"Guru yang belum berkahwin boleh memohon pertukaran selepas 90 bulan sementara guru sudah berkahwin memohon selepas tempoh 60 bulan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 5:27 PM