Tengku Azelam (gambar besar) sedang berucap ketika diraikan di majlis persaraannya sebagai Timbalan Pegawai PPDKT merangkap PPDKN xsecara dalam talian semalam. Foto Ihsan PPDKT
Tengku Azelam (gambar besar) sedang berucap ketika diraikan di majlis persaraannya sebagai Timbalan Pegawai PPDKT merangkap PPDKN xsecara dalam talian semalam. Foto Ihsan PPDKT
Malik Muhamad


JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melakar sejarahnya tersendiri apabila meraikan persaraan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT) secara dalam talian semalam.

Walaupun tanpa kehadiran tetamu secara fizikal, majlis meraikan Tengku Azelam Tengku Abdullah yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN) itu berlangsung meriah dengan penyertaan 45 pengetua dan guru besar, 92 pegawai dan kakitangan PPDKT serta PPDKN.

Menariknya, majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti yang berlangsung lebih satu jam itu turut ditonton 392 guru kerana disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube, Peneraju PPDKT.

Pengarah JPNT Salim Ab Ghani berkata, walaupun diraikan secara dalam talian tetapi majlis persaraan itu tetap bermakna serta mencatat sejarah buat JPNT dan semua guru.

"Cukup meriah dan begitu bermakna, ini yang boleh saya rumuskan walaupun secara dalam talian. Majlis dimulai dengan ucapan dan diikuti tayangan video serta deklamasi sajak bagi menghargai jasa bakti dan pengorbanan beliau dalam dunia pendidikan," katanya.

Tengku Azelam yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1986 di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Kuala Lumpur berkhidmat selama 34 tahun dua bulan dalam dunia pendidikan sebelum bersara wajib mulai hari ini.

Menurutnya, dia terharu dan berterima kepada semua pihak terutama JPNT, PPDKT serta PPDKN yang mengadakan majlis persaraan beliau walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun tarikh persaraan dalam PKP dan majlis diadakan tanpa bersemuka dengan rakan-rakan tetapi saya tetap bersyukur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 2:07 PM