GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

JUMLAH laporan bagi kes pinjaman tidak wujud (PTW) dan kegiatan peminjam ceti haram atau along menunjukkan kadar penurunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, bagi kes PTW, sebanyak 1,180 laporan diterima membabitkan kerugian RM13.1 juta dengan purata kes sebanyak 15 kes sehari dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Mac lalu.

“Bagaimanapun, jumlah itu menurun sebanyak 877 kes atau 75 peratus kepada 303 kes dengan kerugian RM3.8 juta bagi tempoh PKP iaitu 18 Mac hingga 9 April lalu.

“Bagi kes along pula, sebanyak 218 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM15.7 juta sebelum tempoh PKP dan jumlah itu menurun kepada 41 kes dengan kerugian RM326,000 sepanjang tempoh PKP (hingga 9 April).

“Penurunan kadar kes itu dipercayai didorong oleh faktor orang ramai yang tidak keluar rumah menyebabkan pergerakan kedua-dua sindiket berkenaan terhad,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada mangsa sindiket PTW yang mendakwa terpaksa membuat pinjaman kerana terkesan dengan perlaksanaan PKP kerana hilang pekerjaan dan tidak dapat menjalankan perniagaan.

“Seorang kontraktor pembinaan di Lahad Datu, Sabah kerugian RM295,298 akibat mahu meminjam wang sebanyak RM170,000 untuk digunakan bagi membayar gaji pekerja.

“Seorang lagi kontraktor di Semenyih, Selangor turut mengalami nasib sama apabila kerugian RM72,280 bagi pinjaman sebanyak RM200,000 sebagai modal pusingan perniagaan.

“Di Seremban, Negeri Sembilan pula, seorang pekerja kilang kerugian RM6,080 apabila mahu meminjam RM10,000 untuk menyara hidupnya dan keluarga selepas mendakwa hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu sedar bahawa tiada pinjaman sama ada peribadi atau perniagaan boleh dibuat secara dalam talian.

“Perjanjian pinjaman yang dibuat secara dalam talian adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana peminjam perlu hadir di institusi bank atau syarikat kewangan berlesen untuk menandatangani perjanjian di hadapan saksi.

“Malah, institusi bank atau syarikat kewangan berlesen tidak akan mengenakan sebarang bayaran seperti yuran, wang pendahuluan, insurans atau kos peguam bagi permohonan pinjaman kerana jika ada kos berkenaan, ia akan ditolak daripada jumlah pinjaman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:43 PM