DATUK Zuraida Kamaruddin (tengah) ketika sidang media Sesi Lawatan Kerja Di Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
DATUK Zuraida Kamaruddin (tengah) ketika sidang media Sesi Lawatan Kerja Di Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kerajaan membenarkan sektor kredit komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) berdaftar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) bagi melindungi orang ramai meminjam daripada ceti haram atau along.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian menerima banyak permintaan khususnya peniaga kecil supaya sektor berkenaan dibuka bagi membolehkan mereka membuat pinjaman untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

"Kebanyakan mereka meminjam wang dalam jumlah kecil dan biasanya ia tidak diluluskan kerana tidak mencukupi syarat ditetapkan oleh bank.

"Jadi mereka terpaksa mencari jalan lain dengan meminjam ceti haram atau along, secara tidak langsung ia membahayakan diri peminjam," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), dekat sini, hari ini.

Pada 23 Jun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan sektor KK atau PPW yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk beroperasi sepanjang PKP 3.0.

Persetujuan itu dicapai pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

Zuraidah berkata, orang ramai yang meminjam di syarikat KK atau PPW juga dilindungi undang-undang dan mempunyai garis panduan jika tidak mampu melangsaikan hutang dalam tempoh ditetapkan.

"Jika tiada platform atau kemudahan berkenaan, orang ramai lebih cenderung meminjam dengan along yang boleh mendatangkan risiko ancaman jenayah kepada mereka.

"Selain itu, kami menerima banyak permintaan daripada daripada orang ramai yang memerlukan pinjaman sepanjang tempoh PKP 3.0," katanya.

Beliau berkata, ketika pelaksanaan PKP 1.0, mereka mahukan syarikat kredit komuniti ini dibuka kerana mahu menjelaskan hutang yang tertunggak kerana bimbang jumlah hutang akan lebih meningkat.

Katanya, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 4,792 syarikat kredit komuniti berlesen (KK) berdaftar di bawah KPKT di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraidah berkata, syarikat KK yang dikesan bertindak seperti along ketika memberi pinjaman bakal berdepan tindakan dihentikan operasi atau ditarik balik lesen.

"Namun, sehingga kini tiada lagi rekod syarikat KK atau PPW yang menyeleweng dari segi operasi mereka.

"Jika ada laporan seumpama itu, kita akan tarik semula lesen dan menamatkan syarikat operasi syarikat," katanya.

Dalam isu berasingan, beliau berkata, seramai 500,000 peniaga kecil akan diberi suntikan vaksin secara berperingkat bermula 6 Julai depan bermula di Selangor.

Katanya, keputusan membenarkan peniaga kecil seperti peniaga pasar malam beroperasi semula akan diumumkan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan program vaksinasi peniaga kecil diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:46 PM