Sebahagian daripada dadah dan harta yang berjaya dirampas. FOTO AMIN JALIL
Sebahagian daripada dadah dan harta yang berjaya dirampas. FOTO AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah apabila menahan lapan suspek pada 22 hingga 25 April lalu.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam enam operasi berasingan.

Beliau berkata, jumlah dadah dirampas membabitkan pil ekstasi sebanyak 8,001 gram (g), syabu (509.76g) dan eramin 5 (15g) dengan nilai keseluruhan RM770,000.

"Kes pertama membabitkan penahanan seorang lelaki dalam operasi cegah jenayah Ops Covid-19 membabitkan anggota Balai Polis Teluk Kemang, Port Dickson pada 22 April lalu.

"Lelaki terbabit ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 7.36g di kawasan sebuah resort di Teluk Kemang.

"Kes disiasat Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Mohd Faisal berkata, susulan daripada penahanan lelaki itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan seorang lagi lelaki di kawasan Apartmen PD Marina, Port Dickson keesokannya.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952 dan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Turut ditahan dua lelaki di sebuah Apartmen Marina View Villas, Telok Kemang bersama dadah jenis syabu seberat 52.4g dan kedua-dua suspek ditangkap mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

"Hasil siasatan lanjut JSJN negeri, dua serbuan dibuat iaitu yang pertama di Bandar Rinching Seksyen 5, Semenyih, Selangor dan berjaya menahan empat lelaki serta merampas dadah jenis syabu seberat 450g dan 40 biji eramin 5.

"Manakala serbuan kedua di Menara Simfoni, Seri Kembangan, Selangor berjaya menemui menemui pil ekstasi sebanyak 9,570 biji seberat 3,906g dan keempat-empat suspek terbabit ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Mohd Faisal berkata, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di lokap IPD Port Dickson, Nilai dan Kajang bagi tujuan siasatan mengikut kesalahan masing-masing.

"Bahagian Perlucuthakan Harta JSJN Negeri Sembilan dan Selangor berjaya menyita harta pengedar terbabit membabitkan dua kereta dan dua motosikal bernilai keseluruhan RM66,500.

"Kami terus membuat pemantauan dan melakukan operasi dengan fokus kepada pengedar dadah bagi membanteras dan melumpuhkan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:50 PM