FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rosyahaida Abdullah


BOLEH digunakan dan mungkin lebih baik berbanding tiada langsung namun tiada sebarang jaminan jangkitan tidak akan berlaku.

Demikian kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad sewaktu diminta mengulas mengenai pemakaian apa saja jenis penutup mulut dan hidung selain jenis perubatan dan pembedahan tiga lapis oleh segelintir orang awam susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Jelas Dr Zubaidi, beliau maklum dengan kerisauan umum yang tetap ingin memakai penutup mulut dan hidung disebabkan mahu mengelak meskipun langkah itu hanya disarankan untuk mereka yang mengalami gejala seperti batuk dan selsema.

Namun katanya, pemakaian penutup mulut dan hidung bukanlah jaminan sepenuhnya tiada risiko jangkitan sebaliknya duduk di rumah seperti saranan kerajaan adalah pilihan terbaik.

“Atas keadaan tertentu khususnya ketika berada di khalayak ramai seperti di pasar raya, kita memang perlu pakai penutup mulut dan hidung bagi melindungi diri daripada individu yang mungkin berpotensi atau bergejala namun tidak pakai.

“Namun, jangan pula anggap jika pakai, risiko langsung tiada. Risiko masih ada tetapi rendah dan jauh lebih rendah jika mengenakan penutup mulut dan hidup jenis perubatan dan pembedahan tiga lapis.

“Pandangan saya, boleh saja pakai jika tiada pilihan namun ia bukan jaminan apa lagi jenis kain dan sebagainya yang mempunyai rongga.

“Paling penting, sentiasa jaga jarak sosial satu meter yang ditetapkan KKM apabila berada di khalayak, lebih jauh jarak lebih bagus,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim turut mengulangi gesaan kerajaan supaya duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak keluar.

“Apa lagi jika anda batuk atau selsema, tidak sepatutnya keluar rumah. Minta orang yang sihat untuk keluar.

“Saya tidak mahu komen mengenai pemakaian jenis penutup mulut dan hidung cuma saya harap semua pihak ikut saranan KKM dan mainkan peranan kita untuk duduk di rumah supaya wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya sewaktu dihubungi Harian Metro.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:42 PM